GLOBAL

Turki dakwa mayat Khashoggi ‘dilupus’ guna asid

ANKARA 3 NOV: Mayat wartawan Jamal Khashoggi didakwa ‘dilupuskan’ dengan menggunakan asid selepas beliau dibunuh dan dikerat di konsulat Arab Saudi di Istanbul, sebulan lalu, menurut penasihat kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam.

Dakwaan itu menyokong kenyataan seorang pegawai Turki kepada akhbar Washington Post bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat teori yang mayat beliau dimusnahkan dengan asid.

“Mayat beliau bukan saja dikerat, ia dimusnahkan dengan dilupuskan guna asid. Menurut maklumat terkini yang kami terima, sebab mayat Khashoggi dikerat adalah supaya ia mudah untuk dilupuskan,” kata Yasin Aktay.

Arab Saudi berdepan kritikan hebat antarabangsa berhubung pembunuhan individu dalaman keluarga diraja yang kemudian menjadi pengkritik.

Ketua pendakwa raya Turki, Rabu lalu mengesahkan untuk pertama kali bahawa Khashoggi dijerut sebaik beliau masuk ke konsulat pada 2 Oktober lalu dan mayat beliau dikerat kemudian dilupuskan.

“Mereka mahu memastikan tiada mayat tinggal. Ini apa yang kita faham daripada kenyataan pendakwa raya.

“Membunuh seseorang yang tidak bersalah adalah satu jenayah, layanan dan apa yang dilakukan ke atas mayat beliau adalah penghinaan,” kata Aktay yang rapat dengan wartawan itu.

Pegawai Turki yang dipetik Washington Post berkata, bukti biologi yang ditemui di kebun konsulat menunjukkan mayat Khashoggi dibuang berhampiran lokasi beliau dibunuh.

“Keadaan mayat Khashoggi tidak perlu dikebumikan,” kata pegawai itu kepada media AS tanpa mendedahkan identiti.

SUMBER: AFP


Pengarang :