AGAMANASIONAL

UAE sumbang RM191,000 kepada Pusat Kebajikan An-Najjah

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Sharjah Charity International, melalui Kedutaan Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE), di Malaysia menyerahkan sumbangan RM 191,000 kepada anak yatim, di Pusat Kebajikan An-Najjah Malaysia.

Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith berkata, sumbangan itu bagi menampung kos sewa rumah, tuisyen dan pembelajaran serta penyelenggaraan dua rumah anak yatim lelaki serta perempuan.

“Mewakili Sharjah Charity International, pihak kami berasa sangat teruja kerana dapat menyumbang kepada mereka yang memerlukan bantuandan ia ikhlas tanpa mengharapkan balasan.

“Kerja amal ini adalah inspirasi daripada pengasas dan presiden pertama kami, Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan,” katanya kepada Bernama selepas menyerahkan sumbangan itu kepada pusat kebajikan berkenaan, baru-baru ini.

Sharjah Charity International berperanan melaksanakan kebajikan dan kerja amal di dalam mahupun luar negara melalui projek waqaf serta pelbagai bentuk sumbangan termasuk pembinaan masjid, rumah anak yatim, rawatan pesakit, keluarga miskin juga menggali telaga di kawasan pedalaman.

Sehingga kini, badan kebajikan itu sudah menghulurkan sumbangan bagi pembinaan 5,217 masjid dan penggalian 11,343 telaga di kawasan pedalaman serta membantu lebih 6,000 keluarga miskin, di seluruh dunia.

Sementara itu, Pengasas Pusat Kebajikan An-Najjah, Ayman Hussain melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan diberikan kepada pusat berkenaan.

“Sumbangan ini mampu menampung kos sewa rumah dan tuisyen 50 anak yatim di pusat ini selama kira-kira dua tahun.

“Sumbangan ini adalah yang terbesar pernah kami terima dan mampu membantu kami meneruskan operasi pusat ini,” katanya.

Ayman, yang membangunkan pusat itu bersama isterinya Aminah Mohammed berkata, pusat itu sentiasa menerima sumbangan dari pelbagai pihak melalui kedutaan UAE, di sini.

 


Pengarang :