PENDIDIKANSELANGOR

UKM saring 160,000 individu hadapi masalah penglihatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 NOV: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal membuat ujian saringan penglihatan terhadap 160,000 orang yang mengalami masalah intelektual.

Dekan Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UKM, Prof Dr Bariah Mohd Ali berkata, saringan itu akan dibuat melalui Program Optometri dan Sains Penglihatan secara berkala membabitkan staf dan pelajar dari fakulti berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mata itu juga bukan hanya tertumpu kepada kanak-kanak sahaja tetapi turut membabitkan orang dewasa.

“Asalkan mereka sudah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kita akan buat pemeriksaan itu dan jumlahnya mungkin akan bertambah dari setahun ke setahun. Jadi kita akan mulakan pemeriksaan itu di Selangor dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Pesefahaman (MoU) antara UKM dengan Special Olympics Malaysia (SOM), di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut berkenaan MoU terbabit, Dr Bariah berkata, fakulti akan membantu SOM dari segi pemeriksaan mata untuk semua atlet yang mempunyai masalah intelektual.

“Kita akan beri intervensi sesuai supaya mereka dapat kualiti hidup yang lebih baik.

“Perancangan ini bukan sahaja untuk pemeriksaan mata tetapi turut membabitkan sektor kesihatan lain seperti pendengaran dan pertuturan,” katanya.


Pengarang :