GLOBAL

Ukraine mohon bantuan ketenteraan NATO

KIEV 30 NOV: Presiden Ukraine, Petro Poroshenko menggesa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk membantu menghantar kapal tentera ke Laut Azov berikutan pertembungan dengan Russia yang kini makin tegang.

Beliau memberitahu akhbar Bild dari Jerman bahawa pihaknya berharap kehadiran kapal berkenaan dapat ditempatkan bagi tujuan membantu membekalkan keselamatan kepada Ukraine.

“Jerman adalah sekutu kita paling rapat, kami berharap negara ahli NATO bersedia untuk menempatkan sejumlah kapal tentera laut di Laut Azov untuk membantu Ukraine dan memberikan keselamatan,” katanya.

Namun, Presiden Russia, Vladimir Putin pula memberi pandangan sinis terhadap apa yang mahu dilakukan rakan sejawatannya dari negara jiran itu.

Dalam perhubungan yang makin bertambah buruk ketika ini, beliau mendakwa Poroshenko mahu mencipta satu provokasi semata-mata untuk menarik sokongan menjelang pilihan raya 2019.

Apa pun, kerajaan negara Barat tampak menyebelahi Kiev dan menuduh Moscow menyekat akses ke Laut Azov secara haram yang digunakan kedua-dua negara serta menggunakan kekerasan tanpa sebab munasabah.

Ahad lalu, Russia merampas tiga kapal milik Ukraine serta menahan kru mereka di Selat Kerch di antara Laut Hitam dan Laut Azov.

NATO pula menyuarakan sokongan penuh kepada Ukraine ketika negara berkenaan bukan anggota pertubuhan itu.

Di Moscow, Putin menegaskan tindakan Russia tempoh hari adalah tepat, namun Presiden Donald Trump menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Moscow itu membabitkan sekutu Amerika Syarikat (AS).

SUMBER: AFP

 


Pengarang :