SELANGOR

Umum dasar baharu kepada pembeli rumah

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 22 NOV: Kerajaan Selangor akan mengumumkan dasar baharu bagi memudahkan penduduk di negeri itu membeli rumah melalui Belanjawan Selangor 2019, yang akan dibentangkan esok.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelaksanaan itu dijangka bermula dengan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang bertindak sebagai perintis utama untuk membina rumah berkenaan.

“Uniknya melalui dasar ini, MBI bukan sekadar bertindak membina rumah sahaja, namun kita akan membantu rakyat mendapatkan 10 peratus wang pertama untuk pembelian rumah berkenaan.

“Pengumuman terperinci berkenaannya akan diumumkan dalam belanjawan nanti dan saya yakin kerjasama strategik ini akan memberi manfaat buat rakyat Selangor,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Fasa 2A Pangsapuri Kos Sederhana di Lot 69831, di sini, semalam.

SelangorKini pada 31 Julai lalu melaporkan, Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, pihaknya turut komited melaksanakan perumahan mampu milik buat penduduk Selangor, seperti disarankan Amirudin.

“Kita mahu garapkan formula serta rangka kerja yang kuat dan konkrit untuk menjayakannya, hasilnya kita jangka akan lihat dalam suku tahun hadapan,” katanya.


Pengarang :