SELANGOR

UNISEL terima sijil sistem pengurusan kualiti ISO & EOMS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 NOV: Universiti Selangor (UNISEL) berjaya memperolehi dua pensijilan ISO 9001;2015 (Sistem Pengurusan Kualiti) dan ISO 21001:2018 (Educational Organisation Management System (EOMS) daripada SIRIM Berhad pada Majlis SIRIM Industri, di Hotel Marriot, di sini, semalam.

Pensijilan itu menandakan segala sistem pengurusan dan pembelajaran di universiti terbabit mengikut piawaian yang disahkan SIRIM.

Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, UNISEL antara universiti pertama menerima pensijilan berkenaan.

 

“Sekitar dua tahun UNISEL berusaha untuk mendapatkan pensijilan ini dan semalam adalah hari bersejarah sekali gus mampu memberi impak positif pada masa akan datang.

“Justeru, menerusi pensijilan ini, ia mampu meningkatkan lagi keyakinan pelajar untuk menjadi salah satu warga UNISEL,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penutup Ekspo Inovasi dan Kreativiti 2018 (SLICE18) yang diadakan di UNISEL, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan jumlah penyertaan yang ramai dalam SLICE18, katanya, beliau tidak mahu membuat pendekatan terlalu optimistik daripada segi penyertaan pada masa akan datang.

Namun, beliau berkata, UNISEL akan cuba meluaskan lagi SLICE sehingga ke Sabah Sarawak dan beberapa negeri di pantai timur pada masa akan datang.

“SLICE18 banyak memberi platform yang baik kepada pelajar, badan bukan kerajaan dan institusi untuk mereka mempamerkan produk berinovatif dan kreativiti,” katanya.

Malah, intensi utama program itu bertujuan merangsang dan menarik pelajar tempatan serta penyelidik untuk melaksanakan aktiviti ilmiah selain mempertingkatkan inovasi dalam kalangan peserta.

Pada masa sama, ia juga memperluaskan ruang bagi inovator baharu dan pelawat untuk bertukar pendapat serta pandangan berhubung hasil inovasi.

Menerusi tema ‘Menjana Inovasi dan Kreativiti’, SLICE18 menyediakan pelbagai program menarik antaranya pameran produk dan bicara industri berkenaan IR 4.0.


Pengarang :