SELANGOR

Unjuran defisit penuhi keperluan pembangunan bukan negatif

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 NOV: Unjuran defisit berjumlah RM360 juta hasil daripada peruntukan pembangunan yang substantif bagi memenuhi keperluan pembangunan mampan bukan suatu yang negatif.

Sebaliknya, Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, jika dipelihara, ia boleh menjadi prinsip perbelanjaan berhemah, telus dan bertanggungjawab.

Katanya, amalan perbelanjaan berhemah, pengukuhan budaya kerja yang cekap dan berintegriti serta usaha gigih akan menutup ruang pembaziran juga ketirisan.

“Selangor pernah berjaya mentransformasi sebuah belanjawan defisit kepada belanjawan surplus dan mengurangkan defisit kepada satu kadar yang munasabah.

“Lebih membanggakan, iltizam melaksanakan agenda Reformasi dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan usaha memenuhi tuntutan perubahan yang menjadi hasrat serta keinginan rakyat diiktiraf Jabatan Audit Negara,” katanya dalam sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2019, di sini.

Muhammad Hilman menyifatkan turut menyifatkan belanjawan itu sebagai rancangan pembangunan dan ekonomi holistik serta komprehensif selain menampilkan keseimbangan antara perbelanjaan mengurus juga pembangunan.

Katanya, beliau yakin ia dibuat berdasarkan pertimbangan berani untuk merancakkan kegiatan ekonomi dan mencipta aliran pendapatan baharu kepada negeri.

“Dengan peratusan belanja pembangunan yang masih setara dengan belanja mengurus, saya yakin Kerajaan Negeri dapat merealisasikan pendekatan, dengan izin, counter-cyclical, dalam berdepan senario ekonomi negara dan global yang muram.

“Menjadi tanggungjawab setiap kerajaan, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan untuk membuat unjuran pendapatan dan perbelanjaan jujur serta berdisiplin demi memastikan tidak berlakunya ketirisan, pembaziran juga kecurangan dalam tadbir urus dana awam,” katanya.

Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara 2017 memuji Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor 2016 dan berpendapat ia menunjukkan ‘gambaran benar dan saksama berkenaan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri serta rekod perakaunannya diselenggara dengan teratur dan kemas’.


Pengarang :