SELANGOR

Uptown Shah Alam kembali beroperasi hari ini

SHAH ALAM, 19 NOV: Operasi Uptown Shah Alam yang ditutup sementara akibat kebakaran akan beroperasi semula, hari ini.

Pengurus Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ishak Hashim berkata, operasi perniagaan di lot perniagaan tidak terjejas akan berjalan seperti biasa.

“Sehubungan itu, orang awam boleh ke Uptown Shah Alam bermula malam ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, dalam kejadian kebakaran pada 5.30 pagi pada 12 November lalu, sebanyak 28 lot perniagaan di blok pertama dan blok kedua di Uptown itu terbakar 100 peratus.

Sementara, tujuh lot lagi di blok ketiga terbakar 50 peratus, namun insiden terbabit tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Kebakaran berkenaan merupakan insiden ketiga berlaku di bazar larut malam itu selepas kali pertama berlaku pada 2014 membabitkan 196 kedai dan kali kedua membabitkan empat kedai, pada 2016.

Pada Mei 2017, PKNS menyatakan sebanyak dua blok bangunan dua tingkat berkonsepkan seni bina ‘Bugis Moden’ yang menekankan ciri-ciri keselamatan dengan kemudahan menyeluruh serta ruang perniagaan lebih selesa untuk peniaga dan pengunjung.

Ia mula dibina pada Oktober 2017 dan dijangka siap pada Oktober tahun depan.


Pengarang :