GLOBAL

Wabak taun: 175 maut, lebih 10,000 terjejas

LAGOS 13 NOV: Kes disyaki taun melonjak di timur laut Nigeria di mana keganasan Boko Haram memaksa puluhan ribu penduduk berlindung di kem penuh sesak, kata Norwegian Refugee Council (NRC), semalam.

Kumpulan kemanusiaan itu berkata, kira-kira 10,000 orang terjejas akibat wabak taun yang pantas merebak dan 175 orang maut di negeri timur laut Adamawa, Borno dan Yobe sehingga awal bulan ini.

“Satu daripada punca utama wabak ialah kesesakan dalam kem yang menjadikannya sukar menyediakan perkhidmatan air, sanitasi dan kebersihan mencukupi,” kata pengurus program NRC, Janet Cherono di Maiduguri, ibu kota Borno.

Katanya, musim hujan turut memburukkan lagi keadaan.

“Jika lebih banyak kawasan tanah tidak disediakan dengan segera untuk mengurangkan kesesakan dalam kem dan pembinaan kemudahan kesihatan dan kebersihan, Nigeria menuju ke arah satu lagi wabak taun menjelang 2019,” katanya.

Nigeria menyaksikan kekerapan wabak taun sejak Boko Haram mengangkat senjata menentang kerajaan pada 2009.

Lebih 1.8 juta orang hilang tempat tinggal akibat konflik berdarah itu yang meragut lebih 27,000 nyawa dan menjejaskan kehidupan harian di rantau Lake Chad.

SUMBER: AFP


Pengarang :