BERITA UTAMANASIONAL

Wan Azizah: Genggam erat idealisme dan agenda reformasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 NOV: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan ahli dan kepimpinan parti supaya pangkat, kuasa dan harta tidak mengaburi asas perjuangan serta dasar parti.

Katanya, kekuasaan dan kedudukan yang dimiliki ketika ini adalah kerana perjuangan setiap anggota di bawah, bukan kekuatan seorang dua sahaja.

Beliau berkata, idealisme dan agenda reformasi perlu digenggam erat, diteruskan dan dimantapkan.

“Jangan lupa kita adalah parti reformis. Kita berjuang membela hak dan menentang yang batil. Kita tentang kemungkaran dan kita mengajak kepada kebaikan.

“Kita lawan kezaliman dan kita tegakkan keadilan, kita bela mereka yang lemah dan kita santuni mereka yang gagah. Kita yang lahir dari perjuangan, keringat dan air mata rakyat di jalanan, kita bukan lahir dengan hamparan permaidani indah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan dasarnya di Kongres Nasional KEADILAN Ke-13, yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Dr Azizah berkata ketika di awal perjuangan reformasi, tiada tokoh besar menyertai parti itu, namun ahli parti tetap gagah berjuang kerana keyakinan kepada agenda perjuangan.

Justeru, beliau berkata, ahli parti tidak seharusnya meremehkan agenda reformasi dan mengakibatkan perjuangan tanpa idealisme hancur.

“Saya inginkan setiap dari kita mengakhiri kehidupan kita dengan kebaikan. Ingat lah ada mata yang memerhati setiap tingkah dan laku kita, dalam gelap dan terang.

“Pemimpin yang baik adalah yang paling takutkan sumpahan rakyat dan bencikan maksiat.

“Kita berjuang kerana kebenaran dan keadilan, tiap titik peluh mengalir, tiap air mata menitis, tiap sen dibelanja, tiap saat kita korbankan untuk perjuangan hanyalah kerana idealisme perjuangan, bukan kerana pemimpin tertentu, pangkat, kedudukan atau harta benda,” katanya.


Pengarang :