SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Wanita digalakkan sertai pertanian, variasikan produk keluaran

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 3 NOV: Wanita pada masa kini digalakkan menyertai bidang pertanian sekali gus menjadi lebih kreatif, kata EXCO Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, wanita juga perlu bijak menginovasikan tanaman dengan penghasilan pelbagai produk menarik.

“Wanita yang membabitkan diri dalam pertanian perlu pandai variasikan sesuatu hasil tanaman supaya berupaya meraih pendapatan seperti tanaman peria yang turut boleh dijadikan sebagai kerepek.

“Apabila tanaman itu divariasikan, harga sudah pasti boleh menjadi lebih berganda sekali gus golongan ini mampu menjana pendapatan walau daripada rumah sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat gerai pameran pada Selangor Agrofest 2018, di Pentas Utama Kompleks Sukan, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, perniagaan kecil-kecilan berasaskan hasil penanaman mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya wanita serius menceburkan diri dalam bidang pertanian.

“Saya akui bidang pertanian ini ada turun naik bergantung kepada keadaan cuaca namun sebab itu saya kata seseorang perlu kreatif membuat sesuatu produk yang boleh bertahan lama,” katanya.

 


Pengarang :