NASIONAL

Wanita KEADILAN disaran peduli masalah rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 NOV: Wanita KEADILAN disaran untuk terus bersuara lantang dan peduli terhadap permasalahan rakyat, khususnya.

Timbalan Ketua Wanitanya, Haniza Talha berkata, ia adalah legasi yang akan disambung dengan kepimpinan akan datang, sekali gus menetapkan iltizam, memperjuangkan hak, nasib dan masa hadapan wanita, di negara ini.

“Tiada lagi isu ‘taboo’ bagi Wanita KEADILAN, selagi ia memberi kesan kepada wanita Malaysia, selagi itu Wanita KEADILAN akan terus bersuara.

“Kita menjadi suara sebenar wanita, di negara ini dengan setiap tindakan yang dilaksanakan demi kepentingan wanita.

“Kita tidak tunduk dan mengalah, malah lebih kuat bersuara jika nasib dan hak wanita, di negara ini terus dicabar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan dasarnya sempena Kongres Nasional Tahunan Wanita ke-13, bertemakan Wanita Muafakat Terus Mara, di IDCC, di sini.

Haniza berkata, semangat memperjuangkan KEADILAN perlu ditegakkan kerana ia adalah asas perjuangan.

“Bukan habuan yang dikejar, bukan jawatan jadi rebutan tetapi asas perjuangan perlu diteruskan walaupun sudah mendapat kuasa di peringkat kerajaan.

“Maka, tugas diteruskan, idealisme dapat dilaksanakan dan direalisasikan,” katanya.

Terdahulu, Wanita KEADILAN paling lantang dalam isu eksploitasi wanita Penan, perkahwinan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan pembabitan wanita dalam pembangunan sosio ekonomi.


Pengarang :