NASIONAL

Warga asing miliki 4,499 unit rumah program MM2H

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan sebanyak 4,499 unit rumah dimiliki warga asing melalui Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi tempoh 2007 hingga tahun ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, perangkaan dinyatakan itu adalah berdasarkan input dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Warganegara China adalah pembeli hartanah terbanyak dengan jumlah 1,664 unit diikuti United Kingdom (357), Bangladesh (250), Iran (217), Jepun (208), Pakistan (192), Singapura (175), Australia (147), Republik Korea (127), Amerika Syarikat (115) dan yang lain (1,047).

“Manakala berdasarkan data Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 3,634,227 isi rumah warganegara dan 106,197 isi rumah bukan warganegara memiliki unit perumahan di seluruh negara,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Katanya, berdasarkan rekod Lembaga Arkitek Malaysia Kementerian Kerja Raya, sejumlah 3,012 Certificate Completion and Compliance (CCC) dikeluarkan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.


Pengarang :