SELANGOR

Wujud guru ANIS asuh kanak-kanak OKU

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri bakal mewujudkan guru Anak Istimewa Selangor (ANIS) di beberapa taska di setiap Dewan Undangan Negeri bertujuan mengasuh kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU).

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak OKU kerana terpaksa menghantar anak mereka ke tadika khas yang menelan kos tinggi.

“Setakat ini, projek pilot sedang berjalan dan kita sudah memilih 75 guru ANIS dalam kalangan guru taska sekitar Selangor untuk melatih mereka bagaimana cara mengasuh dan mendidik kanak-kanak OKU.

“Kita menyasarkan seorang guru ANIS akan dilantik di empat taska di setiap DUN apabila ia mula dilancarkan pada masa akan datang, sekali gus ibu bapa sudah tidak perlu menghantar anak ke taska berkeperluan khas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya OKU Peringkat Selangor 2018, di Atrium SACC Mall, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah optimis seluruh taska mampu menerima golongan istimewa terbabit supaya tiada lagi jurang pergaulan antara kanak-kanak OKU dan kanak-kanak normal.

Pada masa sama, beliau juga yakin Selangor menjadi perintis dalam meningkatkan aksessibiliti terhadap golongan OKU.

“Dengan cara ini, kanak-kanak istimewa tidak akan rasa tersisih, malah kanak-kanak normal pula sedikit sebanyak dapat belajar menerima golongan terbabit sebagai rakan.

“Kita mahu hapus sentimen mempunyai anak OKU adalah satu beban, sebaliknya mereka adalah rezeki yang Allah kurniakan kepada kita,” katanya.


Pengarang :