SELANGOR

Wujud kursus pemberdayaan rumah tangga

OLEH SHEEDA FATHIL

BANGI, 11 NOV: Kerajaan Negeri disaran mewujudkan kursus pemberdayaan berkaitan rumah tangga terhadap belia yang layak menerima insentif perkahwinan RM500, di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ia bertujuan menggalakkan belia lebih bersedia dalam menghadapi alam rumah tangga dan tidak hanya memikirkan keseronokan sahaja.

“Apabila mereka hadir ke kursus itu, kita akan berikan sijil dan melaluinya, ia akan melayakkan mereka menerima insentif perkahwinan berkenaan.

“Oleh itu, wujudnya ‘win-win situation’, iaitu mereka beroleh ilmu berkenaan alam rumah tangga dan pada masa sama menerima bantuan perkahwinan,” katanya.

Katanya, hal itu sudah diusulkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, namun ia bergantung kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari jika mahu meluluskannya, pada pembentangan Belanjawan Selangor 2019 nanti.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan sama ada Kementerian Belia Dan Sukan; Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan silibus berkaitan kekeluargaan, di peringkat sekolah menengah.

“Ia bertujuan memberi pengetahuan awal kepada pelajar terutama pasca Sijil Pelajaran Malaysia berkaitan hak pasangan semasa perkahwinan atau selepas berlakunya perceraian.

“Saya mencadangkan silibus itu dilaksanakan pada peringkat SPM bagi memberi kesedaran awal dan bukan di peringkat universiti kerana fasa permulaan kehidupan mereka seusai tamatnya persekolahan,” katanya.


Pengarang :