SELANGOR

Wujud program latihan dan bimbingan khas buat ketua kampung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 24 NOV: Kerajaan Negeri sedang giat membuat persediaan awal mewujudkan program pemberdayaan berbentuk latihan dan bimbingan khusus kepada semua ketua kampung.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, hal itu bagi memastikan ketua kampung bertindak lebih kompeten, cekap dan efisien dalam mengawal selia pentadbiran, di kawasan masing-masing.

Katanya, mereka turut menjadi tulang belakang dalam membantu pejabat daerah, sekali gus merealisasikan setiap dasar dan agenda yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Kita mahu melihat ketua kampung mempunyai struktur pentadbiran mantap dan kukuh, yang bukan sekadar melakukan kerja bersendirian sahaja.

“Oleh sebab itu, satu jawatankuasa mantap diperlukan dalam sesebuah kampung bagi mengekalkan aspek warisan, meningkatkan tahap pendidikan, pemantapan spiritual, kerohanian dan infrastruktur yang baik, selain memberi tunjuk ajar mengenai pengurusan kewangan yang perlu diuruskan sebaiknya

“Ketua kampung daripada latar belakang berbeza perlu diberi latihan khusus supaya memudahkan mereka menangani isu berbangkit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Klang, di Padang Rakyat Jalan Kebun, Kampung Jalan Kebun Batu 7, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Mughni; Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan Penghulu-penghulu Mukim serta Ketua-ketua Kampung Tradisi Daerah Klang.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada tujuh tokoh kampung tradisi, termasuk asnaf dan kanak-kanak terbabit dalam program berkhatan beramai-ramai.

Menyentuh berhubung pelantikan ketua kampung, Rodziah berkata, sehingga kini, hampir 85 peratus pelantikan sudah selesai dijalankan daripada keseluruhan 371 kampung tradisi yang berada di bawah penyelarasannya.

Bagaimanapun katanya, masih berbaki beberapa buah kampung yang belum dibuat proses pelantikan itu akan dijalankan selepas ini.

“Pelantikan ketua kampung agak ketat pengurusan yang kita laksanakan, selain penjenamaan semula dibuat oleh Kementerian Luar Bandar daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) iaitu untuk melihat 30 peratus daripada jawatankuasa itu adalah dalam kalangan wanita,” katanya.

“Mulai tahun hadapan juga kita akan lihat pengurusan 371 kampung ini tidak lagi dibuat secara sama rata dengan memperlihatkan beberapa kategori diasingkan untuk menyelesaikan isu berbangkit melalui cara masing-masing,” katanya.

 


Pengarang :