SELANGOR

Wujud ‘sister city’ antara Shah Alam dan Mataram

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri kini dalam usaha menjalinkan kerjasama mewujudkan ‘sister city’ antara bandar Shah Alam dengan Mataram, Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, hasrat itu dinyatakan dalam kunjungan delegasi pemerintahnya ke Selangor, baru-baru ini.

“Bapak Ridwansyah dalam ucapan beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas sambutan diberikan dan menyatakan hasrat pemerintah NTB untuk menjalin kerjasama dan menimba pengalaman dari Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Bapak Ridwansyah juga memaklumkan hasrat pemerintah NTB untuk menjalin kerjsama dalam bentuk ‘sister city’ antara Shah Alam dan Mataram,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam rangka lawatan selama empat hari itu berkata, ‘letter of intent’ untuk memperhalusi rancangan terbabit akan disiapkan dan ditandatangani, pada 17 Disember ini.

Pada masa sama, katanya, delegasi NTB turut mahu menjalin kerjasama dengan Selangor khususnya dalam industri halal selain berminat mengambil manfaat daripada pengalaman Invest Selangor dalam mempromosi dan membangun negeri ini.

“Antara cadangan program tindak lanjut adalah menyediakan Memorandum Persefahaman kerjasama antara Invest Selangor mewakili Kerajaan Negeri dan Provinsi Nusa Tenggara Barat khususnya dalam sektor halal.

“Selain itu, kita akan mengadakan kerjasama konsep ‘smart farming’ dan sertifikasi serta standard halal untuk mewujudkan Halal Tourism,” katanya.

 


Pengarang :