SELANGOR

Wujud SOP khas pemindahan rumah ibadat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri disarankan supaya mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khas bagi kerja pemindahan rumah ibadat, di Selangor.

Ahli Dewan Negeri Sentosa, Gunarajah R. George berkata, garis panduan dalam SOP itu mampu membantu melancar dan mengelakkan kejadian tidak diingini semasa proses pemindahan rumah ibadat.

“Kita perlukan satu kaedah khas supaya pemindahan rumah ibadat tidak menjadi huru-hara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Negeri Selangor, di sini.

Katanya, kerajaan hari ini tidak boleh mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu yang tidak memikirkan penyelesaian isu kedudukan rumah ibadat di atas tanah yang mahu dipindah milik.

Gunarajah turut mendakwa terdapat banyak tanah estet di kawasan kuil dijual kepada syarikat pemaju.

“Sepatutnya sebelum dipindah milik, kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan isu rumah ibadat yang sudah sedia terbina di atas tanah itu,” katanya.

 


Pengarang :