SELANGOR

Zuraida bangga wanita dilantik Ketua Polis Daerah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 NOV: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melahirkan rasa bangga apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor buat pertama kalinya melantik ketua polis daerah dalam kalangan anggota wanita.

Zuraida berkata, detik bersejarah itu memartabatkan kaum wanita serta merupakan langkah bagi menggalakkan lagi golongan itu untuk terus maju.

Katanya, ia juga membuktikan bahawa kaum wanita berkebolehan dan berkaliber untuk memegang amanah sebagai seorang pemimpin atasan.

“Tahniah kepada Superintenden Shafa’aton Abu Bakar, sebagai seorang Ketua Polis Daerah wanita, diharapkan beliau akan turut menyokong dan mengangkat wanita-wanita lain dalam PDRM.

“Saya juga berharap supaya unit-unit beruniform lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan meramaikan lagi pimpinan wanita dalam kalangan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Pegawai Turus Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sungai Buloh.

Beliau merupakan wanita pertama yang diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah oleh Ibu pejabat Polis (IPK) Kontinjen Selangor.

Pelantikan tersebut bagi menggantikan Superintenden S. Somu yang memulakan tugas di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Kuala Lumpur.

Majlis serah terima tugas berlangsung di IPD Sungai Buloh turut disaksikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Mazlan berkata, beliau percaya Shafa’aton yang mempunyai pengalaman selama 21 tahun dalam siasatan jenayah mampu menjalankan tugas sebagai ketua polis daerah dengan cemerlang.


Pengarang :