SELANGOR

180 kanak-kanak terima sumbangan “Back To School”

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 30 DIS: Seramai 180 kanak-kanak yang bakal memasuki Tahun Satu pada 2019 menerima sumbangan “Back To School” daripada Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli.

Juwairiya berkata, program sumbangan “Back To School” itu anjuran bersama Pusat Khidmat Rakyat Bukit Malawati, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

“Sumbangan ini diberikan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah yang dipilih sendiri oleh ketua kampung di Dewan Undangan Negeri Bukit Malawati.

“Setiap peserta menerima peralatan sekolah seperti beg dan pakaian sekolah dengan jumlah RM200 setiap seorang,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Juwairiya berkata, beliau optimis hadiah disumbangkan Kerajaan Negeri itu sedikit sebanyak mampu membakar semangat pelajar untuk memulakan sesi persekolahan tahun hadapan.

“Jadilah anak bangsa yang cintakan negara dan tanah air, menjadi kebanggaan negara dengan cemerlang sahsiah serta akademik, selamat maju jaya saya ucapkan.

“Bagaimanapun, tidak ketinggalan jutaan terima kasih kepada pihak MBI dan YAWAS atas sumbangan diberikan ini,” katanya.

Terdahulu, Juwairiya menyerahkan sumbangan itu kepada setiap penerima di Pasaraya Ekonomi Berjaya, Kuala Selangor, di sini, semalam.


Pengarang :