BERITA UTAMAGLOBAL

20 maut kejadian tsunami letusan gunung berapi Anak Krakatau

JAKARTA, 23 DIS: Seramai 20 orang dilaporkan maut akibat tsunami di sekitar pantai di Selat Sunda, tsunami yang dipercayai berlaku akibat letusan gunung berapi Anak Krakatau.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho berkata mangsa yang terkorban khususnya berlaku di Kabupaten Pandenglang, Lampung Selatan dan Serang.

“Sehingga jam 4.30 pagi tadi (Waktu Indonesia Barat) tercatat 20 orang meninggal dunia, 165 orang cedera, dua orang dilaporkan hilang dan puluhan bangunan rosak akibat kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata tsunami berlaku sekitar jam 9.27 malam tadi (Sabtu malam) dan pihak berkuasa Indonesia masih menyelidik punca berlakunya tsunami itu.

“Faktor penyebab tsunami masih dalam penyelidikan oleh Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) untuk mengetahui secara pasti.

“Kemungkinan disebabkan berlaku pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau dan berlaku gombang air pasang dan kombinasi itu menyebabkan berlakunya tsunami secara tiba tiba,” katanya.

Sutopo berkata pihak berkuasa Indonesia terdiri daripada BNPB, tentera, polis dan agensi-agensi berkaitan sedang menangani situasi itu.

“Jalan raya yang menghubungkan Serang-Pandeglang terputus akibat tsunami. Jumlah korban juga dikhuatiri meningkat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :