Sebanyak 34,090 kes demam denggi dilaporkan di Selangor dari Januari hingga 1 Ogos.
SELANGOR

2,593 kes denggi, MPAJ ‘Search & Destroy’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 24 DIS: Sebanyak 2,593 kes denggi dicatatkan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan tiga kes kematian dilaporkan sehingga 18 Disember lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya turut mengenal pasti dua tempat panas (lokaliti hotspot) bermula minggu epid ke-51 sehingga kini.

“Lokasi ini termasuk Bandar Baru Ampang iaitu Jalan Wawasan 2/1, 2/8, 2/10 dan 2/12 mencatatkan 15 kes serta tempoh wabak melangkaui 45 hari.

“Manakala, lokaliti hotspot kedua di Kampung Tasik Tambahan iaitu Jalan Tasek Tambahan 3, 3/1 hingga 3/5 membabitkan tujuh kes serta 30 hari tempoh wabak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh di Bilik Mesyuarat 1, Menara MPAJ, di sini, hari ini.

Abd Hamid berkata, sebagai tindakan kawalan, MPAJ akan lebih agresif dalam menjalankan Pemeriksaan dan Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP) menggunakan konsep ‘Search & Destroy’.

Katanya, ia dilakukan di sekitar 200 radius dari lokaliti kes sporadik dan wabak dengan melakukan pemeriksaan terhadap tapak bina, tanah atau lot kosong, padang permainan, kawasan rekreasi, institusi pendidikan juga kawasan tumpuan awam.

“Kita juga meneruskan pendekatan ekosistem yang bermula pada 20 Jun tahun lalu bagi mengenal pasti lokasi yang bermasalah dan berpotensi menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi.

“Bagi aktiviti promosi dan pendidikan di sekolah pula, selain ceramah berkaitan denggi, pameran, PTP dan pengedaran risalah, pihak jabatan juga menyediakan forum keselamatan dan kesihatan bagi mengatasi serangan virus demam denggi dengan kerjasama Bahagian Alam Sekitar,” katanya.

Katanya, MPAJ turut mengadakan pertandingan gubahan ‘Flower Ovitrap’ bersama JKP dan penduduk yang memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai salah satu tindakan kawalan pencegahan denggi.

 


Pengarang :