SELANGOR

29 peniaga Uptown Shah Alam terjejas kebakaran terima bantuan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 DIS: Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyerahkan bantuan khas kepada 29 peniaga bazar larut malam Uptown Shah Alam Seksyen 24 yang terjejas dalam kebakaran, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norita Mohd Sidek berkata, sumbangan itu membabitkan Dana Ehsan (Bencana Alam) Kerajaan Negeri mengikut kategori kerosakan atau kemusnahan dialami peniaga berkenaan.

“Untuk kategori 100 peratus membabitkan 22 peniaga, jumlah dana yang disalurkan RM5,000 setiap seorang dan kategori 60 peratus terbakar, jumlah peniaga terlibat seramai enam orang dengan jumlah dana diperuntukkan RM3,000 setiap seorang.

“Manakala untuk kategori 20 peratus terbakar melibatkan seorang peniaga dana RM1,000 disalurkan kepada mangsa,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan berkenaan, di Auditorium Dato Seri Harun Idris Ibu Pejabat PKNS, di sini, semalam.

Sumbangan disampaikan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail serta turut dihadiri EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Pada masa sama, Norita berkata, PKNS memperuntukkan kira-kira RM1,772,650 bagi kerja baik pulih lot perniagaan terlibat dengan jangkaan tempoh siap selama empat bulan, selewat-lewatnya pada April 2019.

Katanya, sementara menunggu baik pulih selesai, pihaknya turut melaksanakan pelan kesinambungan perniagaan dengan mendirikan khemah perniagaan kepada usahawan terbabit untuk tempoh enam bulan berjumlah RM106,000.

“Bagi meringankan beban penyewa terlibat, kita juga mengurangkan kadar sewa kepada RM200 sebulan daripada kadar asal RM300, mulai Disember 2018 sehingga kerja baik pulih selesai.

“Selain membina premis baharu yang musnah, kita turut baik pulih premis terjejas, membuat pendawaian baharu dan menyediakan sistem pencegahan kebakaran termasuk sistem siar raya serta lampu kecemasan,” katanya.

Katanya, langkah itu bagi meminimumkan impak kerugian kepada penyewa dan kebarangkalian berulang kembali insiden berkenaan, sekali gus memastikan kesinambungan aktiviti perniagaan serta ekonomi negeri.

Terdahulu, dalam kejadian kebakaran pada 12 November lalu, 35 lot perniagaan hangus dijilat api membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ia adalah insiden ketiga berlaku di Uptown Shah Alam selepas kali pertama berlaku pada 2014 membabitkan 194 kedai dan kali kedua membabitkan empat kedai pada 2016.


Pengarang :