SELANGOR

50 graduan Akademi Diyana genggam SKM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 DIS: Seramai 50 pelajar Akademi Kecantikan Artistik Diyana Sdn Bhd (Akademi Diyana) dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Kursus Persendirian sempena Majlis Konvokesyen Ulang Tahun ke-10 akademi itu, hari ini.

Berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di The Grand Hall, Bukit Jelutong, di sini, pengiktirafan SKM tahap dua dan tiga itu diberi kepada mereka yang berjaya menamatkan pembelajaran di pusat latihan berkenaan serta memenuhi piawaian diluluskan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Pengarah Urusannya, Dyana Sofia berkata, kejayaan semua graduan menjadi suatu titik permulaan kepada mereka untuk mengorak langkah ke tahap lebih tinggi selain memahami erti dan cara kehidupan berdaya saing, kreatif, berinovasi serta berketerampilan.

“Ia memberi makna yang besar kepada ibu bapa, suami dan graduan serta menandakan kesinambungan dalam sejarah akademi dalam melahirkan graduan berkemahiran dan berketerampilan, khususnya dalam bidang kecantikan.

“Diharapkan graduan terus mengambil peluang bagi meningkatkan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang berkaitan untuk ke tahap global,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi; Pengasas DIYANA AKADEMI, Safiah Abbas; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan dan beberapa wakil industri yang bekerjasama bagi penempatan pelajar.

Sambil meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian pelajar, Dyana berkata, akademi itu akan terus diperkasa bagi menggalakkan bidang kemahiran sebagai pilihan kepada golongan lepasan sekolah, wanita bekerja atau suri rumah sebelum memasuki dunia pekerjaan sebenar.

Katanya, hal itu kerana bidang kecantikan mampu menyumbang ke arah tenaga kerja berkemahiran tinggi, sejajar hasrat kerajaan untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Saya percaya ramai anak tempatan memilih bidang kecantikan sebagai profesion mampu memberikan pendapatan lumayan.

“Malah, sudah ramai ikon kelahiran tempatan di luar sana berjaya mendapat pendapatan jutaan ringgit dengan kepakaran mengetengahkan keunikan hasil solekan mereka,” katanya.

Terdahulu, Akademi Diyana mula bertapak di Kuantan, Pahang sejak 1999 dan mendapat pengiktirafan JPK pada 2008 sebelum melebarkan sayap dengan menubuhkan akademi induk di Shah Alam menerusi program JPK di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Memiliki tenaga pengajar bertauliah dan berpengalaman, akademi itu menawarkan kursus pembelajaran seperti Makeup Artist SKM, Aesthetic Theraphy Service, Hairdressing, Massage Theraphy, Professional Airbrush Makeup Artist, Professional Certificate Beauty Management termasuk Cabin Crew Preparation Course.


Pengarang :