SELANGOR

5,784 unit Rumah Selangorku lulus di Dengkil

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Sejumlah 5,784 unit Rumah Selangorku membabitkan sembilan projek diluluskan pembinaannya, di kawasan Dengkil.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, daripada jumlah itu, sebanyak dua projek membabitkan 1,158 unit siap dibina, manaka tujuh projek lagi terdiri daripada 4,626 unit sedang dalam pembinaan.

“Bagi data jumlah unit rumah berharga RM300,000 dan ke atas, ia adalah kategori Rumah Harga Bebas dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor tidak mempunyai rekod itu.

“Rumah Harga Bebas pula dikawal seliaKementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri menambahbaik dasar perumahan sedia ada supaya sentiasa relevan dengan keadaan semasa selain menjadi pemangkin kepada pemaju swasta untuk memperbanyakkan lagi Rumah Selangorku, terutama Jenis A.

Katanya, berdasarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Selangorku (Rumah Selangorku 2.0) yang berkuat kuasa pada 2 April lalu, mana-mana tanah atau tapak cadangan di zon 1 pembangunan dengan keluasan melebihi lima ekar dikenakan syarat penyediaan 10 peratus Rumah Selangorku Jenis A.

“Manakala zon 2 pula, pembangunan berkeluasan 20 ekar ke atas turut dikenakan 10 peratus Rumah Selangorku Jenis A, sementara bagi zon 3 yang berkeluasan 50 ekar dan ke atas turut dikenakan 10 peratus Rumah Selangorku Jenis A.

“Penyediaan Rumah Selangorku Jenis A disyaratkan kepada semua pemaju perumahan sama ada terdiri daripada pemaju swasta, kerajaan atau anak syarikat Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya.


Pengarang :