NASIONAL

81 peratus tak berpuas hati, MP diajar bersantun semasa berbahas

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Kajian Institut Darul Ihsan (IDE) kira-kira enam bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 berlangsung menunjukkan 81 peratus rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan perjalanan Persidangan Parlimen.

Ketua Eksekutif IDE, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, keadaan ini menyebabkan pentadbiran Malaysia Baharu perlu mengambil langkah segera bagi mereformasikan institusi Parlimen Malaysia.

“Ini memerlukan langkah mereformasikan Parlimen perlu segera diambil bagi membolehkan era Malaysia Baharu ini ada perubahan seperti disebut Datuk Speaker, termasuklah soal berbahasa.

“Kita boleh tidak bersetuju tetapi dengan bersantun, tidak semestinya bila tidak setuju kita perlu tidak berbahasa sedangkan ianya boleh diluahkan dengan kesantunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Seminar Reformasi Parlimen Anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) dengan kerjasama Parlimen Malaysia di Bangunan Sementara Parlimen di sini, semalam.

Mohammad Redzuan berkata, Ahli Parlimen sewajarnya memiliki nilai ketimuran yang tinggi bagi mencerminkan budaya bersopan santun masyarakat Asia.

Ketika mengulas isu sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arif Md Yusof turut meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap kualiti dan tingkah laku Ahli Parlimen.

Katanya, pihak Parlimen Malaysia sedang giat meningkatkan mutu perjalanan Persidangan Parlimen termasuk membabitkan isu kesantunan.

“Usaha terus dilakukan untuk memperbaiki suasana di Parlimen khususnya suasana perdebatan, saya masih tak puas hati tentang kualiti, tingkah laku tetapi ada peningkatan.

“Pada masa ini Parlimen menjalankan kerjasama dengan DBP untuk mengedarkan buku kesantunan bahasa kepada Ahli Parlimen dan saya harap mereka baca,” katanya.

Katanya, pihak Parlimen mensasarkan persidangan Parlimen di Malaysia mencapai tahap antarabangsa yang turut meletakkan kesantunan bahasa sebagai kriteria penting.


Pengarang :