SUKANKINI

825 polis berkawal sempena Piala AFF malam ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 DIS: Seramai 825 anggota polis akan bertugas mengawal keselamatan dan trafik pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kawalan trafik akan dilakukan seawal pukul 2 petang bagi mengelak kesesakan di sekitar kawasan stadium.

Katanya, dianggarkan seramai 90,000 penonton akan membanjiri Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan terbabit.

“Anggota trafik akan berada di lokasi tertentu yang telah dikenal pasti, pihak polis hanya akan membuat lencongan atau penutupan jalan sekiranya keadaan sesak.

“Orang ramai juga diingatkan supaya datang lebih awal dan disyorkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak membawa barang larangan antaranya mercun, suar, senjata, laser dan topi keledar.

“Jangan cetuskan sebarang provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Polis juga akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menjual atau memiliki tiket palsu untuk aksi final bola sepak Piala AFF Suzuki kali ini,” katanya.

 


Pengarang :