SELANGOR

Akademi Diyana perhebat bidang kemahiran, perkenal tiga kursus baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 DIS: Akademi Kecantikan Artistik Diyana Sdn Bhd (Akademi Diyana) melangkah setapak ke hadapan apabila bakal memperkenalkan tiga kursus baharu pada 2019, selaras memenuhi perkembangan teknologi dan keperluan semasa industri.

Pengarah Urusannya, Dyana Sofia berkata, tiga program itu meliputi ‘Cabin Crew Preparation Course’, Professional Certificate Beauty Management (APIM International Academy) dan Sistem Pembelajaran E-Learning.

Katanya, pengenalan kursus terbabit dapat memastikan setiap pelajar berkemahiran mendapat peluang pekerjaan bersesuaian sekali gus mampu membina perniagaan sendiri dengan kepakaran dimiliki.

“Kita bekerjasama dengan ‘Avestar Services’ bagi menjalankan ‘Cabin Crew Preparation Course’ dengan memberi fokus kepada ‘Grooming’ dan imej permulaan untuk mereka memulakan kerjaya dalam bidang pramugari atau penerbangan (Airlines).

“Pelajar juga berpeluang melanjutkan pembelajaran dalam kursus Professional Certificate Beauty Management jika memperbaharui kursus selepas tamat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua dan tiga.

“Manakala, bagi Sistem Pembelajaran E-Learning, kita berkolaborasi dengan Discovery Book Store (DBS) Sdn Bhd bagi membuka peluang kepada pelajar berada jauh dari Akademi Diyana belajar melalui dalam talian, berinteraksi secara jelas dan mendapat panduan lebih dekat,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ulang Tahun ke-10 akademi itu di The Grand Hall Bukit Jelutong, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi; Pengasas Akademi Diyana, Safiah Abbas; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat ASWARA, Farah Mellisa Mohsen.

Dyana berkata, Akademi Diyana yang menyambut ulang tahun konvokesyen ke-10 mampu melahirkan ramai pelajar dalam pelbagai bidang kecantikan dengan memperlihatkan semua mereka adalah individu yang fokus meneruskan kepakaran masing-masing.

“Justeru, untuk persiapan 2019, kita merancang untuk membuat ‘Roadtour’ ke semua sekolah menengah di seluruh Selangor dan negeri lain untuk beri peluang kepada pelajar tingkatan tiga dan lima yang kurang dalam akademik.

“Kita akan memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan memilih bidang kemahiran,” katanya.

 


Pengarang :