SUKANKINI

Aksi menentang pasukan Eropah penting perkuatkan pasukan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Perlawanan persahabatan menentang pasukan Eropah seperti Belanda, Jerman dan Belgium penting untuk memperkuatkan skuad hoki kebangsaan menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula tahun depan.

Penjaga gol veteran negara, S. Kumar berkata skuad ‘The Malaysian Tigers’ memerlukan lebih banyak aksi kompetitif menentang pasukan yang menduduki ranking teratas dunia.

“Kita jarang bermain dengan pasukan ternama seperti Belanda dan Jerman atau pasukan menduduki ranking lima teratas dunia. Kalau dapat main pun, selalunya dengan kelab atau pasukan simpanan mereka.

“Jadi, saya rasa perancangan mengadakan perlawanan persahabatan memang bagus untuk meningkatkan prestasi pasukan. Ia juga penting kerana kita tidak boleh jangka aksi pasukan Eropah kerana kita akan bertemu Austria, Itali dan Wales selain berdepan Kanada dan China pada Siri Hoki Final nanti​​​​​,” kata pemain berusia 39 tahun itu.

Ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans sebelum ini, dilaporkan mahu melakukan persiapan selama sebulan di Eropah sebelum mengharungi pusingan ‘playoff’ kelayakan Sukan Olimpik, selepas skuad kendaliannya tersingkir awal pada Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India baru-baru ini.

Di Bhubaneswar, Malaysia gagal meloloskan diri ke pusingan kalah mati selepas menduduki tempat tercorot dalam Kumpulan D berikutan kekalahan 0-7 kepada pasukan di kedudukan keempat dunia, Belanda; seri 1-1 berdepan Pakistan (13) dan tewas 3-5 di tangan Jerman (6).

Malaysia, yang menjadi tuan rumah Siri Hoki Final pada April depan, pusingan kedua kelayakan temasya sukan berkenaan, perlu meraih dua tempat teratas untuk mara ke pusingan terakhir atau ‘playoff’ yang akan berlangsung pada Oktober dan November 2019.

Sementara itu, kapten pasukan negara Mohamad Sukri Abdul Mutalib berkata rakan sepasukannya tidak harus mengalah berikutan prestasi kurang baik pada akhir musim ini, tetapi harus bersedia mengharungi cabaran lebih sengit pada 2019 dalam usaha meraih tiket ke Sukan Olimpik 2020.

“Perlawanan pertama (menentang Belanda), kita tidak begitu baik, tetapi kita beraksi baik pada perlawanan kedua dan ketiga…ada peningkatan pada setiap perlawanan. Memang sesuatu yang sukar apabila berada dalam kumpulan maut.

“Kita tidak boleh mengalah dan putus asa. Kita harus bekerja keras dan fokus kerana 2019, tahun yang agak mencabar dan besar harapan untuk kita capai sasaran layak ke Sukan Olimpik,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia sedang memburu penampilan ke-10 pada Sukan Olimpik, selepas kali terakhir beraksi di pentas itu pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :