SELANGOR

AMC sambut bail Kerajaan Negeri wujud hab aeroangkasa

OLEH HAFIZAN TAIB

DENGKIL, 8 DIS: Kolej Pengurusan Penerbangan (Aviation Management College (AMC)) menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri mewujudkan hab aeroangkasa di Selangor.

Ketua Eksekutifnya, Kapten Ab Manan Mansor berkata, usaha Kerajaan Negeri itu adalah satu strategi yang tepat dalam usaha meneroka teknologi dan membangunkan industri berkenaan.

“Kita mengalu-alukannya dan bersesuaian dengan status Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia.

“Melalui industri ini, kita boleh menarik pelaburan luar serta menghasilkan pelbagai produk dan komponen berkaitannya,” katanya kepada Media Selangor selepas Majlis Konvokesyen AMC di sini, hari ini.

Beliau berkata, AMC juga tidak keberatan untuk bekerjasama dan berkongsi kepakaran dalam bidang berkenaan sekiranya Kerajaan Negeri memerlukannya.

Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2019, akhir November lalu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor Berhad giat menjalin kerjasama erat dengan pemain industri antarabangsa bagi merealisasikan hasrat mewujudkan hab aeroangkasa.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengunjurkan RM750 juta dapat dijana menerusi industri aeroangkasa sebaik kilang UMW, di Serendah siap sepenuhnya.

Belanjawan Persekutuan untuk 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan menyebut pihak Khazanah akan membangunkan tanah seluas 80 ekar di Subang sebagai hab aeroangkasa dan selari dengan dasar Kerajaan Negeri yang berhasrat menjadi tiga hab aeroangkasa terbaik dunia dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI).


Pengarang :