SELANGORSUKANKINI

AMG FC julang kejuaraan Piala Dato’ Menteri Besar Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 3 DIS: Pasukan Anak Muda Gombak (AMG FC) menjuarai kejohanan bola sepak Piala Dato’ Menteri Besar Selangor sekali gus mengalahkan Pasukan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) FC, di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) malam tadi.

AMG FC melangkah cemerlang pada separuh masa pertama perlawanan apabila mendahului kedudukan dengan jaringan 1-0.

Namun kemudiannya MPS FC cuba mengejar kedudukan pada separuh masa kedua sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.

Juara terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan.

Bagaimanapun tuah akhirnya berpihak kepada AMG FC apabila sepakan penalti mereka mendahulu pasukan MPS FC.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau berharap supaya kejohanan terbabit dapat melahirkan lebih ramai pemain profesional bola sepak buat negara dan juga Selangor.

Katanya, pelbagai inisiatif dilakukan Kerajaan Negeri termasuk mewujudkan Akademi Merah Kuning bagi membolehkan mutu bola sepak negeri ini terus cemerlang.

“Melalui akademi berkenaan, kita ingin mengesan bakat pemain berusia 8 hingga 10 tahun, jika sebelum ini hanya ada 200 hingga ke 300 pemain namun kini sudah meningkat naik kepada 800 pemain.

“Begitu juga dengan misi Kerajaan Negeri yang mahu pengurusan bola sepak Selangor perlu disatukan di bawah satu payung bagi memastikan bola sepak negeri kembali gemilang seperti era sebelumnya,” katanya.

Turut hadir pada perlawanan berkenaan ialah Yang Dipertua (YDP) MPS, Suliman Abd Rahman dan YDP MPAJ, Abd Hamid Hussain serta hampir 200 penyokong setiap pasukan.

Kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Gombak (Gombak FA) itu turut mendapat kerjasama MPAJ dan juga Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor).


Pengarang :