SELANGOR

Amirudin: Jujur menegur, beri maklumat tepat kukuhkan parti

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 31 DIS: Menyampaikan maklumat sebenar dan berani memberi teguran jujur kepada kepimpinan parti dapat membantu memperkukuhkan parti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Selangor, Amirudin Shari, berkata anggota KEADILAN juga hendaklah tidak memberi sokongan membuta tuli tanpa memiliki kefahaman tepat dalam sesuatu isu.

“2019 kita perlu bersedia, lebih kuat dan keras melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan.

“Kita akan bersemangat meneruskan usaha kita, namun saya harap sokongan dan dukungan daripada semua bukan sokong membuta tuli tetapi dengan penuh kefahaman dengan penuh pengertian dan bersedia bercakap jujur termasuk menyampaikan maklumat dan teguran kepada kepimpinan kita,” katanya.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata demikian sebaik selamat tiba daripada Jeddah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang selepas menunaikan ibadah umrah, di sini, malam tadi.

Katanya, sokongan dan dukungan semua pihak seperti pimpinan parti, Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), individu dan masyarakat akan membantu KEADILAN kekal sebagai parti yang kukuh dan seterusnya mengetuai untuk membawa Selangor dan Malaysia ke arah yang lebih baik.

“Kita sedia maklum 9 Mei lepas kita diberikan amanah dan kita adalah dalam penggal ketiga pentadbiran Kerajaan Pakatan yang diketuai KEADILAN dan kita harus sampai dalam melaksanakan tugas.

“Sebahagian besar daripadanya haruslah berpaksikan kekuatan dan keutuhan parti kita iaitu KEADILAN dan sokongan rakan lain,” katanya.


Pengarang :