NASIONAL

Anggota Polis URB maut, rakan setugas cedera dilanggar kereta

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Seorang anggota polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal dari Balai Polis Travers, maut manakala rakan setugasnya cedera selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta yang terbabas di Jalan Semantan (Jalan Damansara menghala ke Kuala Lumpur), di sini, awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata anggota yang maut ialah Konstabel Mohd Zamri Sinsian, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan setugasnya Konstabel Osman Ibrahim cedera parah di kepala.

Beliau berkata dalam kejadian pada kira-kira 3.50 pagi itu, kedua-dua anggota ketika itu sedang bertugas memeriksa sebuah kenderaan di tepi jalan berkenaan.

“Tiba-tiba datang sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun, kenderaanya menurun dari cerun bukit melanggar kedua-dua mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata anggota yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat manakala rakan setugasnya yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan.

Bagaimanapun, seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Samsul Ishak yang turut sama berada di lokasi kejadian terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Zulkefly berkata pemandu kereta terbabit telah ditahan dan dibawa ke pejabat JSPT untuk pemeriksaan alkohol.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :