GLOBAL

AS lanjut tutup operasi kerajaan

WASHINGTON, 28 DIS: Penutupan operasi kerajaan Amerika Syarikat (AS) terus berlarutan selepas penggubal undang-undang gagal mencapai kata sepakat berhubung tuntutan Presiden Donald Trump untuk mendapatkan dana AS$5 bilion (RM20.9 bilion) bagi membiayai pembinaan tembok, di sempadan Mexico.

Memetik AFP, selepas beberapa minit bersidang, ahli Senat yang secara rasminya masih bercuti sempena Krismas meninggalkan dewan dan bersetuju untuk bertemu kembali, pada Rabu minggu depan.

Hal itu sekali gus menjadikan penutupan operasi pentadbiran Kerajaan AS yang kini sudah memasuki hari keenam akan berlarutan selama 12 hari.

Trump berhasrat membina tembok di sempadan AS dan Mexico, iaitu antara janji yang dibuat ketika pilihan raya presiden, namun permohonannya ditolak anggota Demokrat dan Republikan.

Justeru, sebagai tindak balas, Trump enggan menandatangani peruntukan belanjawan, sekali gus menjejaskan peruntukan dana kepada pentadbiran kerajaan.

Jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders mendakw Demokrat secara terbuka memilih untuk memastikan kerajaan ditutup bagi melindungi pendatang tanpa izin berbanding mengutamakan rakyat Amerika sendiri.

Beliau berkata, Trump tidak akan menandatangani cadangan yang tidak lebih dulu mengutamakan keselamatan dan kedaulatan negara.

Selagi perdebatan berkenaan tembok itu tidak diselesaikan, kira-kira 800,000 kakitangan persekutuan tidak akan mendapat gaji dan beberapa bahagian kurang utama dalam kerajaan tidak akan berfungsi.


Pengarang :