SELANGOR

B40 disaran ambil peluang tawaran istimewa Rumah Selangorku

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 2 DIS: Golongan B40 disaran menggarap peluang keemasan yang di tawarkan oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) menerusi pembinaan Rumah SelangorKu sebanyak 5,000 unit, bermula tahun hadapan.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, hal itu kerana tawaran yang diberikan berserta kelengkapan perabot dengan harga yang berpatutan tidak akan diperolehi di pasaran lain.

Katanya, ia merupakan usaha murni pihak MBI Selangor untuk memberikan pulangan terbaik dan istimewa khusus untuk penduduk Selangor.

“Menerusi tiga projek itu nanti, MBI Selangor berjaya mengenepikan ‘cakap-cakap’ bahawa pembinaan Rumah SelangorKu ini tidak mendatangkan keuntungan.

“Sedangkan, langkah berani MBI Selangor ini berjaya memberi satu tawaran yang sangat istimewa kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lawatan kerja ke rumah contoh Rumah Idaman Rakyat Selangor di Pangsapuri Impian, di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi MBI Selangor, Soffan Affendi Aminudin.

Justeru, Haniza berkata, rakyat yang berminat boleh menghantar permohonan kepada pihak Maybank atau Lembaga Perumahan Negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri turut memudahkan pembeli selepas bekerjasama dengan pihak Maybank bagi memudahkan urusan pinjaman,” katanya.

MBI Selangor akan melaksanakan tiga projek berkenaan membabitkan sejumlah 5,000 unit di Bangi Lama (1,100 unit) Sungai Sering Hulu Klang (2,500 unit) dan Paya Jaras (1,400 unit).

Ia membabitkan ciri rumah berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi beserta dua parkir kereta dilengkapi perabot seperti kabinet dapur dan kabinet bilik tidur, pemanas air dan penghawa dingin di setiap bilik tidur.


Pengarang :