EKONOMI NASIONAL

Bank Dunia: Malaysia di kedudukan baik ke arah negara berpendapatan tinggi

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Malaysia berkedudukan baik dalam usahanya memulakan era baharu ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun-tahun akan datang, menurut Bank Dunia.

Dalam kenyataan hari ini, Naib Presiden bagi Asia Timur dan Pasifik, Victoria Kwakwa berkata ekonomi Malaysia adalah sangat pelbagai dan memiliki asas kukuh, yang bersedia membawa negara ke peringkat seterusnya.

“Kami mengalu-alukan usaha kerajaan, sebagai sebahagian proses ini, untuk memperkukuh institusi, membangunkan modal insan dan melindungi aspek yang mudah terjejas dalam masyarakat. World Bank Group bersedia untuk menyokong Malaysia semasa proses peralihan penting ini,” katanya.

Kwakwa baru sahaja mengakhiri lawatan rasmi empat hari ke Malaysia pada Isnin, dan dalam tempoh itu beliau bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Pegawai kanan Bank Dunia dan delegasinya turut mengadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi bertukar pandangan dan idea mengenai aliran pembangunan di Malaysia dan rantau ini amnya.

Aliran ini termasuk peningkatan kepentingan ekonomi digital dan pembangunan kemahiran untuk daya saing masa depan di semua negara di rantau ini.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :