EKONOMI

Bank Islam perkenal ‘SnapNPay’ bagi sumbangan kepada Sadaqa House

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Bank Islam Malaysia Bhd memperkenalkan aplikasi mudah alih, SnapNPay, untuk memudahkan pengguna menyalurkan sumbangan kepada Sadaqa House, iaitu inisiatif kewangan sosial yang telah dilancarkan oleh bank itu pada awal tahun ini.

Dalam kenyataan, Bank Islam berkata SnapNPay adalah aplikasi mudah alih yang dibangunkan SnapNPay LLP, bagi membolehkan orang ramai membuat bayaran menggunakan enjin FPX dengan mengguna pakai maklumat atau data yang disenaraikan pelanggan (penerima) dalam mod kod QR atau kod Bar.

Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi SnapNPay dari Playstore (Android – sudah tersedia) atau Appstore (Apple – tersedia menjelang Januari 2019) secara percuma tanpa sebarang pendaftaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata ciri yang terbaik adalah sesiapa sahaja boleh membuat urus niaga ini kerana satu kod QR boleh menampung kesemua 17 bank FPX di Malaysia, lantas ia menghapuskan keperluan untuk menghasilkan pelbagai kod QR dari bank individu dan bayaran adalah berdasarkan masa nyata.

“Hari ini, kami telah menggabungkan teknologi dan penyelesaian syariah dalam menyampaikan perkhidmatan yang selari dengan aliran digital semasa.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan digital Bank Islam dalam memastikan keselesaan, perkhidmatan yang berkesan dan berimpak tinggi dengan pelaksanaan yang mudah,” katanya.

Perkhidmatan SnapNPay juga akan diperluas kepada platform iSadaqah untuk pelanggan atau orang ramai membuat sumbangan kepada masjid dan surau yang terlibat serta platform iPBT bagi pihak berkuasa tempatan agar pengguna boleh melakukan pembayaran seperti cukai tanah dan cukai pintu secara mudah.

Bagi iPBT, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mula menggunakan SnapNPay sebagai antara satu daripada medium pungutan bayaran sejak Ogos 2018.

Sadaqa House adalah platform pendanaan awam Islam pertama seumpamanya yang telah dilancarkan oleh Bank Islam pada 19 Jan, 2018.

Dana yang dikumpulkan akan disalurkan bagi merealisasikan projek kewangan sosial untuk sektor yang kurang mendapat perhatian seperti kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi serta alam sekitar.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :