SELANGOR

Belia jangan tua sebelum masa

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 10 DIS: Golongan belia di Selangor perlu sentiasa aktif dengan berfikir dan bertindak sesuai dengan usia mereka, kata Mohd Khairuddin Othman.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta Pembangunan Modal Insan itu berkata, belia juga wajar memanfaatkan usia masing-masing dengan aktiviti bermanfaat.

“Saya harap dapat menyambung kesinambungan dibawa Dato’ Menteri Besar dalam portfolio diberikan.

“Harapan saya, Selangor mesti berlainan daripada negeri lain dan kita mahu belia menjadi belia, membawa peranan sebagai belia dan saya harap belia tidak cepat tua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengangkat sumpah sebagai EXCO baharu, pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, di Balairung Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Ketika ditanya berkenaan cabaran bakal dihadapinya sebagai EXCO, Mohd Khairuddin melahirkan keyakinan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, di Selangor.

Beliau yakin kerjasama utuh dengan agensi kerajaan akan dapat melaksanakan tanggugjawab dan amanah diberikan dengan baik.


Pengarang :