SELANGOR

Belia Selangor terus diperkasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 DIS: Pembangunan belia di negeri ini terus diperkasa melalui pelbagai bidang yang menonjolkan potensi masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia merangkumi pelbagai jenis bantuan, tajaan mahupun pembiayaan dari segi pendidikan dan perniagaan dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Katanya, sehingga kini lebih 100,000 belia mendaftar di bawah program Kerajaan Negeri.

“Selain bantuan pengajian sebanyak RM6.026 juta di Kolej Antarabangsa Inpens, golongan belia juga dibantu menerusi Institut Pengajian Sains Sosial dengan menaja 30 anak muda bagi tempoh 2018 hingga 2021.

“Menerusi program Hijrah Selangor, sebanyak 13,000 anak muda turut menikmati peluang ini dari keseluruhan peminjam 46,000 orang,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, di sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, seramai 1,167 anak muda turut menyertai program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Samrt Selangor, setakat ini.

“Kerajaan Negeri juga menyediakan ruang golongan ini menyertai kursus di STRAND Aerospace dan Selangor Human Resources Development Centre bagi meneroka bidang berimpak tinggi selaras kehendak semasa,” katanya.


Pengarang :