PBTSELANGOR

Bukan biasa-biasa, Festival Laman Seni 2018 tampil kelainan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 DIS: Festival Laman Seni (FLS) 2018 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Laman Seni 7, di sini, semalam, tampil kelainan dengan mengangkat lima segmen berteraskan cabang seni.

Memasuki edisi ketiga penganjuran, FLS yang mengetengahkan tema ‘Raikan Seni bersama Shah Alam’ bermula dari jam 11 pagi hingga 6.30 petang.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Mohd Zulfahmee Ismail berkata, kepelbagaian cabang seni FLS kali ini termasuk Pertandingan Tarian Kreasi Tradisional melibatkan sekolah rendah dan menengah, Buskers, Persembahan Pentas Artis utama, ‘Street Performance’ dan Vendor Seni.

“Setiap segmen memberikan penyampaian seni secara berbeza bagi menarik pengunjung untuk menyertai dan meraikannya.

“Bagi segmen persembahan pentas, ia dibarisi artis seperti Daqmie, Roslan Madun, Amylea Azizan, Kaer, Pandoras dan Leaism.

“Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan Street Koir dan Flash Mob yang memukau,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, festival itu berjaya menghimpunkan lebih 1,000 pencinta seni yang jelas terpaku melihat gerak langkah persembahan yang luar biasa, malahan ada juga segelintir hadirin meniru pergerakan persembahan berkenaan.

Sebanyak 15 pempamer turut serta dalam pameran seperti jualan buku, barangan kraf, batik dan seni.

Mohd Zulfahmee berkata, FLS adalah sebahagian daripada inisiatif MBSA bagi menyemarakkan aktiviti seni budaya, sekali gus memberi peluang kepada golongan kreatif dan belia untuk berkarya.

Katanya, ia juga selari dengan gagasan Bandaraya Shah Alam sebagai sebuah kota seni.

 


Pengarang :