EKONOMI

Bursa Malaysia dijangka kekal berada di bawah paras 1,700 mata minggu depan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Aliran menurun di Bursa Malaysia ketika ini dijangka berterusan ke minggu depan dengan indeks komposit kekal di bawah paras 1,700 mata, terjejas oleh keadaan tidak menentu dalam pasaran luaran.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata sentimen dalam pasaran akan banyak dipengaruhi oleh aktiviti pasaran (belian/jualan) dalam kalangan pelabur asing yang bimbang dengan landskap pelaburan global, terutamanya perkembangan dalam ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

“Saya rasa perkembangan luaran akan banyak mempengaruhi Bursa kerana pelabur tempatan akan sangat berhati-hati di tengah-tengah berita yang Lembaga Tabung Haji (TH) merancang untuk menjual sebahagian besar portfolionya dalam pasaran, terutamanya saham permodalan kecil.

“Kita jangkakan satu satu pusingan jualan akan berlaku sekiranya TH meneruskan rancangannya itu,” katanya kepada Bernama.

TH dilaporkan sebagai berkata akan mengurangkan pendedahannya dalam pasaran ekuiti sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan untuk meningkatkan kewangan.

“Keputusan TH itu akan memberi kesan kepada sentimen pemain tempatan, kerana pelabur asing, saya percaya telahpun mempunyai pandangan positif terhadap Malaysia.

“Mereka sedar bahawa Malaysia merupakan satu daripada sebilangan kecil pasaran sedang pesat membangun yang mencatatkan lebih akaun semasa secara konsisten,” katanya kepada Bernama.

Dari segi permodalan pasaran, pendedahan semasa terbesar TH adalah dalam saham permodalan kecil yang menyumbang 53.8 peratus, permodalan besar (19 peratus), permodalan mikro (14.8 peratus) dan permodalan sederhana (12.4 peratus)

Beliau berkata paras ketahanan pertama bagi FBM KLCI minggu depan dijangka berada pada 1,669, diikuti 1,675 dan 1,686, manakala paras sokongan segera pada 1,659, diikuti 1,655, dan 1,644.

“Saya harap akan ada aktiviti memperelokkan akaun ke arah penghujung tahun untuk meransang pasaran dan hakikat perubahan dalam sentimen terhadap Malaysia dalam kalangan pengurus dana asing, sekiranya berterusan, akan menjadi lebih positif daripada keadaan pada masa ini,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya rendah berikutan faktor-faktor luaran termasuk keyakinan rapuh pelabur terhadap perjanjian perdagangan AS-China ketika ini, serta kebimbangan akan pertumbuhan ekonomi China.

Pasaran saham tempatan juga dipengaruhi oleh prestasi di Wall Street dan pasaran serantau serta harga minyak mentah dunia.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 18.58 mata untuk ditutup kepada 1,661.96.

Indeks FBM Emas turun 178.43 mata kepada 11,419.11, Indeks FBMT100 susut 162.39 mata kepada 11,317.53, FBM 70 jatuh 329.43 mata kepada 13,193.56, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 259.95 mata kepada 11,348.28, dan FBM Ace turun 294.28 mata kepada 4,390.11.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 77.28 mata kepada 17,357.76,Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.24 mata kepada 166.80, manakala Indeks Perladangan jatuh 187.45 mata kepada 6,647.66.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, jumlah dagangan mingguan menguncup kepada 9.21 bilion unit bernilai RM7.85 bilion daripada 10.81 bilion unit bernilai RM9.4 bilion yang dicatatkan pada Jumaat minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 6.47 bilion unit bernilai RM7.30 bilion berbanding 7.72 bilion unit bernilai RM8.58 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.74 billon unit bernilai RM400.27 juta daripada 1.87 bilion unit bernilai RM462.77 juta.

Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat sedikit kepada 997.58 juta saham bernilai RM153.66 juta berbanding 990.56 juta saham bernilai RM211.72 juta sebelumnya.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :