EKONOMI

Bursa Malaysia dijangka kekal tinggi, didorong aktiviti memperelok akaun

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Aktiviti memperelok akaun yang berterusan sehingga akhir tahun ini dijangka mendorong pergerakan meningkat harga saham di Bursa Malaysia sekali gus berada dalam prestasi untung minggu depan.

Ketua Penyelidikan, Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan dalam jajaran luas antara paras 1,674 dan 1,705 minggu depan, terutamanya disokong oleh aktiviti memperelok akaun.

“Aktiviti mulai Jumaat itu mungkin berlarutan sehingga Isnin ini, dan memberi kesan limpahan kepada awal minggu depan

“Ia dijangka mendorong pasaran dengan lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Pong berkata aktiviti memperolek akaun secara besar-besaran di Bursa Saham New York baru-baru ini juga akan memberi sokongan kepada barometer pasaran tempatan.

Bagi minggu yang baru berakhir, FBM KLCI diniagakan dengan tidak banyak berubah, dipengaruhi terutama faktor luaran seperti ketidaktentuan politik Amerika Syarikat yang merangkumi penutupan separa kerajaan AS dan potensi kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan negara itu.

Bursa tempatan dan anak-anak syarikatnya akan ditutup pada Selasa sempena cuti Tahun Baharu 2019.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, penanda aras FBM KLCI ditutup 21.79 mata lebiih baik kepada 1,692.07.

Indeks FBM Emas naik 166.19 mata kepada 11,537.30, Indeks FBMT100 meningkat 165.56 mata kepada 11,454.58, FBM 70 melonjak 265.13 mata kepada 13,091.52, Indeks FBM Emas Syariah menokok 190.75 mata kepada 11,509.42, dan FBM Ace bertambah 1.59 mata kepada 4,260.20.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 198.15 mata kepada 17,641.69, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.34 mata kepada 166.81, manakala Indeks Perladangan meningkat 87.48 mata kepada 6,897.74.

Berbanding Jumaat ke Jumaat, perolehan mingguan susut kepada 5.70 bilion unit bernilai RM4.15 bilion daripada 9.57 bilion unit bernilai RM8.45 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 4.16 bilion saham bernilai RM3.85 bilion daripada 6.62 bilion saham bernilai RM7.93 bilion.

Waran mencatatkan jumlah dagangan 948.80 juta unit bernilai RM202.97 juta berbanding 1.70 bilion unit bernilai RM384.90 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 556.26 juta saham bernilai RM90.05 juta berbanding 1.01 bilion saham bernilai RM137.63 juta minggu lepas.

— BERNAMA

 


Pengarang :