EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia susut

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Bursa Malaysia menyusut daripada kenaikan semalam untuk dibuka rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung selepas bursa tempatan itu ditutup 1.08 peratus lebih tinggi, pada Khamis.

Pada jam 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.51 mata kepada 1,689.21 daripada paras penutup 1,690.72 semalam.

Indeks itu dibuka 2.81 mata lebih rendah kepada 1,687.91.

Bagaimanapun, suasana pasaran positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 112 berbanding 60, manakala 130 kaunter tidak berubah, 1,585 tidak diniagakan dan 54 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 93.56 juta saham bernilai RM22.0 juta.

Menurut nota penyelidikan daripada Public Investment Bank Bhd hari ini, FBM KLCI dijangka menyaksikan aktiviti memperelokkan akaun dan bakal meningkat lebih tinggi lagi.

“FBM KLCI dijangka tinggi dengan mengambil kira pemulihan momentum aliran meningkat, dan berada dalam jajaran antara paras 1,700 dan 1,720, dan diunjur terus meningkat dalam tempoh terdekat ini,” kata firma penyelidikan itu.

Paras sokongan bagi indeks dijangka berada pada 1,645, 1,664 dan 1,680 mata, manakala paras ketahanan pada 1,700, 1,720 dan 1,735 mata.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank susut empat sen kepada RM24.84, CIMB turun satu sen kepada RM5.77, manakala Tenaga melonjak dua sen kepada RM13.60.

Maybank dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing pada RM9.40 dan RM9.36.

Dalam kalangan kaunter cergas, Hubline dan PDZ meningkat setengah sen masing-masing kepada 4.5 sen dan tiga sen, Permaju naik satu sen kepada 35.5 sen, manakala Velesto susut setengah sen kepada 17 sen dan TH Heavy tidak berubah pada tiga sen.

PPB muncul sebagai kaunter rugi paling utama, turun 18 sen kepada RM17.02, diikuti oleh KLK yang susut 16 sen kepada RM23.98, Malaysia Airports jatuh 14 sen kepada RM8.30, Scientex turun 10 sen kepada RM9.03 dan Sime Darby Plantation berkurangan lapan sen kepada RM4.70.

Indeks FBM Emas berkurangan 3.68 mata kepada 11,519.95, Indeks FBMT 100 susut 4.58 mata kepada 11,438.18, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 4.16 mata kepada 11,481.13 dan Indeks FBM Ace turun 0.74 mata kepada 4,236.92.

FBM 70 meningkat 18.59 mata kepada 13,085.10.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 13.01 mata kepada 17,334.04, Indeks Perladangan susut 33.51 mata kepada 6,795.52 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.04 mata kepada 166.47.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :