PBTSELANGOR

Dewan Serbaguna MPSJ USJ 7 dibuka

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 16 DIS: Dewan serba guna yang bakal menjadi kemudahan aktiviti komuniti setempat dibuka secara rasmi oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di USJ 7, di sini, semalam.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, kemudahan itu menelan kos pembinaan sebanyak RM3.064 juta dan kerja pembinaan dimulakan pada 1 Julai 2015, sebelum siap sepenuhnya pada 3 Ogos lalu.

“Pembinaan Dewan Serbaguna USJ 7 ini merupakan inisiatif MPSJ memperkasakan modal insan bagi membentuk komuniti yang berkemahiran, harmoni dan sejahtera seiring Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 di bawah Teras ke- 5 (Pembangunan Modal Insan).

“Dewan serba guna ini mempunyai keluasan seluas 0.17 hektar dan reka bentuk dewan ini berkonsepkan moden di mana ia mempunyai dua aras (aras bawah dan aras mezzazine) serta mempunyai kemudahan seperti parkir (untuk golongan OKU, kenderaan hybrid dan orang awam), tandas, bilik, pentas utama, gelanggang badminton dan bilik mesyuarat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Pada masa sama, bersempena pembukaan dewan itu turut diadakan Karnival Wanita Inspirasi Ekonomi, pertandingan badminton dan aktiviti senamrobik yang menarik minat seramai 300 peserta.

Noraini berkata, karnival anjuran bersama MPSJ dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat khususnya kaum wanita kurang berkemampuan mengikuti program berbentuk bengkel dan seminar usahawan bagi meningkatkan pendapatan bulanan mereka.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk dan masyarakat setempat.


Pengarang :