BERITA UTAMASELANGOR

DYTM Raja Muda berkenan serah sumbangan ‘Back To School’

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Program ‘Back To School’ kepada 500 kanak-kanak dari 12 rumah anak yatim sekitar negeri ini.

Program anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) itu memperuntukkan RM60,000 termasuk pengagihan 500 pakaian sekolah, kasut, stokin dan beg sekolah serta RM100 turut diberikan kepada setiap anak yatim.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, sumbangan itu bagi meringankan beban penjaga rumah anak yatim terbabit dalam menyediakan keperluan asas persekolahan.

“Program ‘Back To School’ diadakan setiap hujung tahun dan kini sudah masuk tahun kedua penganjuran selepas ‘Pilot Projek’ bersama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor yang berjaya dilaksanakan, tahun lalu.

“Julung kalinya pada tahun ini, kita bekerjasama dengan Selangor Youth Community (SAY) dan Star Villion bertujuan membantu anak yatim berdaftar dengan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Program ‘Back To School’ yang diadakan di Star Villion Seksyen 7, di sini, hari ini.

Antara 12 rumah anak yatim terlibat adalah Pertubuan Kebajikan Ehsan Ash Shakur; Pertubuhan Al-Khadeem; Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan; Rumah Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah dan Rumah Baitul Kasih.

Selain itu, turut terlibat Rumah Aman Shah Alam; Persatuan Rumah Anak Yatim Dan Miskin Wawasan Cemerlang Selangor; Rumah Bakti Dato’ Harun; Rahoma Darul Fakir; Rumah Kasih Harmoni dan Rumah Anak Yatim Dan Hidayah Al Hijrah.

Pada masa sama, YIDE turut membuka peluang kepada agensi korporat yang lain untuk bersama menyalurkan sumbangan dalam membantu masyarakat di Selangor khususnya.


Pengarang :