EKONOMINASIONAL

E-Dagang Malaysia dalam trajektori pertumbuhan

KUALA LUMPUR, 3 DIS: E-dagang Malaysia berada dalam trajektori pertumbuhan dan telah mula memanfaatkan negara, hasil kejayaan pelaksanaan 13 program utama di bawah enam bidang utama Pelan Hala Tuju e-Dagang Kebangsaan (NeSR).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darrell Leiking berkata nilai tambah dan sumbangan e-dagang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia terus meningkat dalam tempoh tujuh tahun kepada RM85.8 bilion pada 2017 berbanding hanya RM37.7 bilion pada 2010, dengan purata kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 12.5 peratus.

“Perubahan peratusan tahunan bagi tempoh 2015-2016 hanya sebanyak 9.9 peratus, 2017 telah menyaksikan kenaikan luar biasa kepada 14.3 peratus mencerminkan kejayaan dalam usaha negara bagi memperkukuhkan industri e-dagang.

“Majlis e-Dagang Kebangsaan (NeCC) yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah komited untuk membawa industri e-dagang ke tahap yang lebih tinggi.

“Kami akan terus merangka pertumbuhan dan pembangunan e-dagang negara,” katanya dalam satu kenyataan bersama daripada MITI dan MDEC selepas mempengerusikan mesyuarat NECC di sini hari ini.

Mesyuarat tesebut membincangkan kemajuan pelaksanaan NeSR termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan peningkatan tahap kompetitif bagi ekosistem e-dagang.

Ia dihadiri oleh pegawai-pegawai dari 28 kementerian dan agensi termasuk NECC, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Agensi Keselamatan Siber Negara.

Sejak penubuhannya pada 2016, NECC telah berjaya membangunkan dan meningkatkan daya saing ekosistem e-dagang negara seperti mendaftarkan lebih 120,000 perniagaan dalam talian di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Platform ‘Go eCommerce’ yang berujuan untuk membimbing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam e-dagang telah pun mencecah 20,000 syarikat dalam pendaftaran.

“Pelaksanaan projek perintis Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) telah mempercepatkan pertumbuhan e-dagang dengan menyediakan platform kepada PKS tempatan serta perusahaan untuk menjalankan perniagaan dan perkhidmatan mereka,” katanya lagi.

Pengarah eDagang MDEC, Song Hock Koon berkata DFTZ telah menunjukkan kesan positif dalam merealisasikan matlamat negara untuk meningkatkan penyertaan PKS dalam urus niaga merentas sempadan.

“Projek perintis (DFTZ) telah merekodkan pendaftaran lebih daripada 5,000 PKS Malaysia dan mereka telah mula mengeksport melalui platform Alibaba.com.

“Kerajaan terus menggalakkan lain-lain peneraju industri seperti e-pasar, termasuk peserta logistik tempatan dan antarabangsa untuk mengambil bahagian dalam DFTZ tersebut,” katanya.

Pada 12 Nov 2018, Malaysia telah menandatangani perjanjian ASEAN Mengenai Perdagangan Elektronik, satu usaha bersepadu membabitkan 10 negara di rantau ini bagi melancarkan urus niaga merentas sempadan dengan mengurangkan halangan dan kos kemasukan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :