SELANGOR

E-World 2 mudah proses dokumentasi sisa pepejal semua PBT

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 DIS: Sistem aplikasi E-World 2 yang dibangunkan Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) berupaya memudahkan urusan rekod, rujukan dan dokumentasi pengurusan sisa pepejal yang dilupuskan, di bawah seliaan anak syarikat Kerajaan Negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia akan diselaraskan dan digunapakai semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor dan kontraktor dalam urusan pendaftaran.

Katanya, melalui sistem itu, semua urusan pendaftaran dapat dikendalikan dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan penggunaan kertas dan pengisian borang.

“Pada masa sama, ia juga akan meningkatkan kelancaran sistem ‘biling’ dan pemantauan ‘tracking’ yang boleh digunapakai untuk meningkatkan perkhidmatan di peringkat PBT dan kontraktor.

“Saya bangga dengan usaha Worldwide Holdings dalam mewujudkan sistem pendaftaran secara dalam talian (On Line) yang memudahkan urusan pendaftaran dan pemantauan yang perlu dibuat oleh PBT dan Kontraktor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (Joint Development Agreement) antara Worldwide Holdings Berhad dan Western Power Clean Energy Sdn Bhd serta Pelancaran Sistem Aplikasi E-World, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pengenalan sistem terbabit juga seiring dengan matlamat Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan agenda Smart Selangor yang memberi fokus kepada empat bahagian iaitu ‘Smart Governance’, ‘Smart Transport and Mobility’ dan ‘Smart Waste Management’.

“Malah, ia mengesahkan komitmen dan sokongan Worldwide dalam usaha meningkatkan dan membuat penambahbaikan setiap urusan dengan semua pihak terlibat,” katanya.


Pengarang :