SUKANKINI

Empat pelumba teratas Cub Prix uji Yamaha R6

SHAH ALAM, 6 DIS: Empat pelumba teratas CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS berpeluang menguji jentera Yamaha R6 ketika sesi ujian tayar rasmi Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand berakhir semalam.

Kasma Danial Kasmayuddin bersama juara CP150 2018, Ahmad Afif Amran serta Mohd Hafiz Nor Azman dan Mohd Akid Aziz, bersaing dengan aksi terbaik bagi mengisi dua slot pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia ke kategori SuperSports 600cc ARRC untuk musim 2019.

Kelebihan beraksi musim penuh kelas 600cc musim ini memberi kelebihan kepada Kasma apabila muncul pelumba terpantas di antara keempat pelumba dengan catatan 1’40.011s namun ketinggalan kepada pelumba terpantas sepanjang dua hari sesi ujian, Peerapong Boonlert (1’38.834s).

Mohd Hafiz sebelum ini berpengalaman menunggang Honda, mempamerkan prestasi memberangsangkan meskipun pertama kali menguji jentera Yamaha R6 apabila mencatat masa kedua terpantas di belakang Kasma dengan masa terbaik 1’40.614s.

“Ini aksi pertama saya menggunakan jentera R6, jadi tumpuan utama bukan untuk mendapatkan masa terbaik sebaliknya menggunakan peluang mendapatkan lebih masa dan keserasian dengan jentera,” kata Hafiz yang melakukan 92 pusingan sepanjang dua hari sesi ujian.

Ahmad Afif yang pernah beraksi dalam kelas 600cc pada 2015 sebelum beraksi dalam Asia Production 250cc, ketiga terpantas (1’41.453s) manakala juara Underbone 150cc dan CP115 2017, Md Akid Aziz dilihat masih belum mendapatkan keserasian bersama jentera dengan catatan terbaik 1’42.986s.


Pengarang :