SELANGOR

EXCO: Fokus perbanyak sukan massa, bangun komuniti sihat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 31 DIS: Memperbanyakkan program sukan massa, selain sukan berprestij menjadi antara fokus penting Kerajaan Negeri, sebagai suatu mekanisme baharu ke arah pembangunan komuniti yang sihat dan cergas.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, sukan massa seperti ‘paintball’ dan ‘hiking’ wajar didedahkan secara meluas dan komprehensif supaya berpotensi menarik lebih ramai penyertaan belia serta beliawanis, di Selangor.

Katanya, meskipun terdapat beberapa kekangan besar dalam mengetengahkan sukan berkenaan, namun jalan penyelesaian tuntas perlu dicari demi memastikan pembabitan aktif belia dan beliawanis melalui aktiviti sukan terbabit dapat direalisasikan.

“Salah satu kekangan sukan paintball adalah melibatkan peraturan dikenakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mewajibkan mana-mana pemegang marker (pistol digunakan sukan paintball) untuk memohon lesen.

“Jika kita mahu memperbanyakkan dan menjadikan Selangor sebagai pusat dalam sukan paintball, maka kita harus ‘formalize’ perkara ini kerana saya mahu menyaksikan penglibatan belia dan beliawanis dalam sukan paintball.

“Malah, saya juga meminta Majlis Sukan Negeri (MSN) supaya dapat mengambil tindakan sepatutnya dengan mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Selangor bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Festival Belia Ekstrem Antarabangsa Selangor 2018 (#SIYEF2018), di Taman Ekstrem Gua Damai, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan; Timbalan Setiausaha Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Azhar Samsuri; Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Nizam Marjugi dan Setiausaha Agung PEMADAM Kebangsaan, Burhanuddin Disa.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin berkata, demi memastikan belia dan beliawanis tidak ketinggalan dalam arus sukan negara, MSN turut digesa supaya mengambil langkah agresif dalam menyelesaikan masalah publisiti sukan massa berkenaan.

“Saya tahu ada banyak sukan festival dan sukan lain diadakan di setiap daerah, tetapi kita tidak tahu bahawa ada e-sport dan e-game yang barangkali perlu difikirkan supaya sukan ini dapat turun serta dirasai di peringkat bawahan.

“Di kampung, kita mempunyai ramai anak-anak muda yang meminati dan aktif bermain sukan bola sepak, tetapi menjadi masalah kepada mereka kerana tidak tahu ke mana untuk membawa hala tuju dalam sukan berkenaan.

“Saya berharap MSN berfikir ke arah itu supaya sukan ini dirasai pelbagai golongan sama ada belia mahupun beliawanis, kerana walaupun kita mempunyai kekangan tersendiri, tetapi saya percaya sukan di Selangor antara yang terbaik dengan kemudahan dan pusat latihan lengkap, selain peruntukan yang baik,” katanya.


Pengarang :