SELANGOR

EXCO: Pameran Terbuka Galeri Shah Alam tingkat intelektual

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 DIS: Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) yang kini diadakan mampu meningkatkan pemikiran intelektual dan kefahaman Seni Visual tempatan serta peringkat antarabangsa.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, aktiviti berkenaan penting sebagai bahan rujukan kepada individu, organisasi, pengumpul, pengiat seni dan pendidikan.

Katanya, menerusi perkongsian itu, ia dapat membentuk pelukis dan karyawan kreatif, produktif serta inovatif.

“Seni Visual merupakan antara faktor penting dalam usaha memperkenal dan memasarkan hasil karya tempatan.

“Program sebegini penting bagi menarik minat masyarakat tanpa mengira peringkat umur untuk menghayati hasil karya yang tersedia di tanah air kita,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian PTGSA di Galeri Shah Alam, semalam.

Pada masa sama, Abdul Rashid berkata, pameran berkenaan membawa masyarakat lebih dekat dan memahami mesej tersurat atau tersirat yang disampaikan seseorang pengkarya, pereka dan Jurufoto.

“Pameran tetap ini memberi ruang serta peluang kepada pelukis dan penggiat seni khususnya pendatang baru untuk meluahkan ekspresi, emosi, dan pengalaman menerusi arca, kanvas dan instalasi dengan menggunakan pelbagai medium,” katanya.


Pengarang :